Sanjar Shaakhmedov lengkapkan import ke-5 TFC

Sekian lama menunggu, akhirnya pemain import ke-5 Terengganu FC (TFC) telah diumumkan sebentar tadi. Beliau adalah Sanjar Shaakhmedov daripada kelab Lokomotiv Tashkent, Uzbekistan.

Sebelum itu, pihak TFC terlebih dahulu memuat naik satu video ‘teaser’ yang memberikan bayangan pemain tersebut datangnya daripada kelab yang bermain di Uzbekistan Super League, Lokomotiv Tashkent beberapa jam sebelum pengumuman rasmi dibuat.

Pemain tengah menyerang berumur 29 tahun ini mempunyai ketinggian 1.73m dan merupakan seorang pemain berkaki kidal.

Musim ini, beliau cemerlang membantu pasukannya meraih kemenangan liga buat kali ke-3 berturut-turut selepas Lokomotiv Tashkent menjuarainya pada tahun 2016 dan 2017.

Selain itu, beliau yang pernah berkelana di Liga Qatar sekitar tahun 2016 telah dipilih oleh peminat Lokomotiv Tashkent sebagai Pemain Terbaik Musim 2018 hasil undian para peminat.

Irfan Bakti telah memberikan bayangan beliau akan bergandingan dengan pemain kacukan Inggeris-Malaysia, Lee Tuck dibahagian tengah untuk mengharungi musim 2019 ini.

Dengan pengalaman beliau pernah bermain di pentas Liga Juara-Juara AFC, kemasukan Shaakhmedov pastinya memberikan kekuatan tambahan kepada skuad pantai timur dalam usaha merangkul kejuaraan pada musim ini.

Sanjar dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu pada 4 Januari 2018, jam 3.30 petang.

Sumber: foxsports

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *