Samun kedai dobi: Lelaki OKU dihukum penjara 12 tahun, 9 sebatan

0
670

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang kudung kaki kanan dihukum penjara 12 tahun dan sembilan sebatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang, bulan lalu.

Hakim N. Priscilla Hermamalini menjatuhkan hukuman itu selepas pembantu kedai makan, Mohamad Zulfikar Nazriq Mohd. Zahir, 21, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan parang pada 10 dan 11 September lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Zulfikar Nazriq dan rakannya, Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan sebilah parang ke atas Nur Elyani Musa, 37, melibatkan seutas gelang emas, dua bentuk cincin emas, seutas rantai leher emas, telefon bimbit jenis Oppo.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kedai di Village Laundry di Bandar Puteri Jaya, di sini pada kira-kira pukul 7 pagi, 11 September lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa melakukan perbuatan sama ke atas Muhammad Khairul Ikhwan Mohd. Zaini, 17, melibatkan wang tunai RM1,500 serta lima unit telefon bimbit jenis Samsung, Neffos dan Oppo, beg silang dan pengecas mudah alih pada hari sama, kira-kira pukul 7.15 pagi di kedai runcit 24 jam Nine Six Two seven Mart di Taman Ria, di sini.

Mohamad Zulfikar Nazriq dan Muhammad Asmuhairyl turut didakwa melakukan jenayah sama ke atas Siti Norazizah Mohd. Salim, 23, membabitkan sebuah telefon bimbit jenis iPhone 6 Plus di hadapan Pasar Raya C-Mart Sungai Petani, di sini pada kira-kira pukul 7.15 pagi, 10 September lalu.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh Jugindar Singh manakala Mohamad Zulfikar Nazriq diwakili peguam, K. Sobini.

Akhbar pada 27 September lalu melaporkan Muhammad Asmuhairyl mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan dan mahkamah menetapkan 25 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here