Samun di kedai dobi layan diri, wanita rugi RM14,500

0
377

ALOR SETAR – Hanya dalam tempoh 15 minit sahaja, dua lelaki bersenjatakan parang berjaya melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggar berjumlah RM14,500 di dua lokasi berbeza di Sungai Petani semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, dua suspek tersebut terlebih dahulu melakukan samun bersenjata terhadap seorang wanita berusia 37 tahun yang merupakan pelanggan di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai petani pada kira-kira pukul 7 pagi.

“Suspek pertama mendekati mangsa dengan bertanyakan tentang pakaian yang dibasuh telah hilang sebelum secara tiba-tiba cuba merampas beg tangan wanita tersebut. Mangsa sempat menarik beg tangannya namun suspek itu kemudian terus mengacukan parang sambil meminta wanita itu menyerahkan barang berharga.

“Pada masa sama, seorang lagi suspek telah meluru masuk dan merampas sautas rantai, gelang dan dua bentuk cincin emas sebelum kedua-duanya melarikan diri. Selain barang kemas, mangsa juga kehilangan beberapa barang lain antaranya sebuah telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank dan kad kredit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sazalee, kedua-dua suspek kemudian menyamun sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Kelab Cinta Taman Ria, Sungai Petani kira-kira 15 minit kemudian yang membabitkan kerugian sebanyak RM4,500.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi itu, seorang lelaki masuk ke dalam kedai untuk membeli kad prabayar ketika mangsa mahu mengambilnya, seorang suspek masuk ke dalam kawasan kaunter pembayaran sebelum mengacukan parang ke lehernya.

“Suspek kemudian memaksa mangsa membuka laci duit sebelum mengambil semua wang dan beg yang berada di dalamnya. Mangsa bagaimanapun sempat menekan butang siren di bawah laci kaunter yang mana menyebabkan suspek terkejut dan terus melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback warna kelabu,” ujarnya.

Katanya, hasil siasatan kedua-dua suspek merupakan lelaki yang sama melakukan samun di kedai dobi berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here