Sajian Mek Jang Cafe digemari pelbagai bangsa

WALAUPUN bukan tergolong sebagai hidangan tradisi penduduk negeri Terengganu, namun sajian dikenali sebagai ‘nasi ganja’ di Mek Jang Cafe di Kuala Terengganu tetap laris setanding dengan menu ikan singgang mahupun nasi dagang.

Lebih istimewa menu itu disajikan mengikut selera orang Terengganu.

Hidangan nasi itu di Mek Jang Cafe bukan sahaja menambat hati pelanggan Melayu, malah memikat cita rasa masyarakat Cina di samping turut menarik kunjungan keluarga berbangsa India dari Pulau Pinang dan pelancong asing.

Benarlah ungkapan bahawa makanan memiliki kuasa menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama, fahaman, pemikiran, latar belakang kerjaya mahupun usia.

Pemiliknya, Norharizan Hassan, 40, sama sekali tidak menyangka menu yang baharu diperkenalkan kira-kira dua bulan lalu mendapat sambutan positif hingga membawa kepada kemesraan pelbagai bangsa di kedainya yang terletak di Losong Atap Zink berhampiran Muzium Negeri Terengganu.

Bermula sekadar cuba-cuba, katanya, nasi itu yang dahulu merupakan sajian sampingan kini menjadi menu utama di kedainya yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 3 petang dengan tujuh pilihan lauk iaitu ayam Maghribi, ayam madu, kari berempah, sambal telur, sambal ikan tongkol atau lebih dikenali ikan aya di pantai timur, ikan aya goreng berempah dan ikan keli goreng berempah.

Mengusahakan perniagaan sejak Ogos 2018 bersama suami, Mohd. Faizal Nizam Mohd. Speri, 38, pengurusan kafe tersebut turut dibantu anak mereka, Noralya Syauqina Amri, 19.

Katanya, sekurang-kurangnya 20 kilogram beras digunakan untuk menyediakan nasi itu setiap hari pada hari bekerja selain 30 ekor ayam.

“Asalnya saya berniaga ‘nasi bajet’ berharga RM3.50 dan bagi memberi kelainan kepada pelanggan, saya mempelbagaikan menu dengan menjual nasi ini pada hari Jumaat sahaja.

“Saya cuma masak sedikit, bimbang tidak disukai pelanggan sebab ini makanan orang luar. Tetapi sangkaan saya meleset kerana permintaannya lebih tinggi sehingga mendorong saya untuk terus fokus kepada nasi ini.

“Saya sesuaikan rasanya agar tidak terlalu pedas untuk lidah orang Terengganu dan antara lauk yang paling digemari adalah ayam Maghribi. Rempah untuk menyediakan masakan ayam Maghribi dihasilkan sendiri,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Norharizan, memandangkan Mek Jang Cafe sudah dikenali sebelum ini dengan menjual nasi berlauk pada harga bajet RM3.50, dia memutuskan untuk mengekalkan harga murah itu pada menu ‘nasi ganja’ kerana keutamaan berniaga bukan sekadar untuk meraih keuntungan semata-mata, sebaliknya bagi membantu golongan kurang berkemampuan menikmati hidangan yang mengenyangkan.

Dia yang terpanggil untuk berniaga kerana simpati dengan nasib nelayan yang hilang sumber pendapatan pada musim tengkujuh, turut merancang menambah senarai lauk-pauk seperti daging dan kambing dengan masih menawarkan harga berpatutan.

Dalam pada itu, ibu kepada dua anak ini berkata, kisah kedainya yang viral sebelum ini memberi limpahan rezeki sehingga turut dikunjungi beberapa pemimpin negeri dan ahli politik termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman bersama keluarga.

“Kedai saya boleh memuatkan sehingga 60 orang dalam satu-satu masa. Saya seronok tengok keceriaan pelbagai golongan dan bangsa menikmati nasi di sini. Ada pelanggan saya terdiri daripada kalangan orang atasan, pertengahan dan tidak kurang juga penduduk setempat yang antaranya merupakan nelayan.

“Selain itu, orang ramai berpeluang mencuba nasi dagang dan pelbagai kuih-muih tradisi yang dihantar oleh penduduk kampung. Ini secara tidak langsung membantu menjual produk penduduk kampung sekali gus menambah pendapatan mereka,” katanya.

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *