Portal berita terbaik anda

Politik

Sah, PAS tetap sokong UMNO di Semenyih

MARANG: PAS hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap menyokong UMNO, namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya dengan yang dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

Katanya, ia selaras dengan pendirian konsisten PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu mengatasi yang lainnya serta mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.

“Tidak ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PAS tidak akan menyokong UMNO pada PRK Semenyih, namun ada perbincangan secara lisan antara Dr Mahathir dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Secara lisannya, PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN Semenyih dan tahap penyertaan serta komitmen diberikan berbeza dengan PRK Parlimen Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS Pusat, di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila di sini, petang ini.

Bagaimanapun, ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan tahap komitmen dan kadar pembabitan yang berbeza, Takiyuddin berkata ia terpulang kepada pemahaman masing-masing.

Mesyuarat yang bermula jam 3.15 petang itu dipengerusikan Abdul Hadi dan disertai ahli jawatankuasanya termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Turut hadir, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali; Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Ketua Dewan Pemuda, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.

Loading...

Leave a Reply