Portal berita terbaik anda

Nahas & Bencana

Pemuda maut dihempap jentera pada hari pertama bekerja

ALOR GAJAH – Seorang lelaki maut pada hari pertama bekerja sebagai pemandu jengkaut apabila jentera berat yang dibawanya itu terbalik dan menghempapnya dalam kejadian di Kampung Brisu, Masjid Tanah di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu, mangsa Muhamad Sabirin Umar, 29, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tragedi itu berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja-kerja meratakan tanah di kawasan tersebut untuk dijadikan kawasan pertanian.

Katanya, jentera berat yang dikendalikan mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya.

“Hasil siasatan, mangsa dikatakan baru hari pertama bekerja sebagai pemandu jengkaut selepas hilang pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“Ketika melakukan kerja-kerja meratakan tanah untuk tujuan pertanian, jengkaut itu tiba-tiba hilang kawalan lalu terbalik dan menghempapnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa maut akibat kecederaan parah pada kepala selepas tersepit pada bahagian bumbung kenderaan berat itu.

“Mangsa berjaya dikeluarkan daripada bahagian bawah jentera berat itu dengan bantuan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah pada pukul 4.32 petang.

“Pasukan perubatan Klinik Kesihatan Simpang Ampat bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia kerana mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepalanya,” katanya.

Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.-K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply