Portal berita terbaik anda

Utama

Rusuhan kuil: Polis akan guna semula POTA, SOSMA

KABINET bersetuju menarik semula moratorium ke atas akta undang-undang yang sedang dikaji semula susulan insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Seri Maha Mariamman Seafield USJ 25, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu dipersetujui oleh Kemaah Menteri pada mesyuarat Jumaat lalu bagi memberi kuasa penuh kepada polis melaksanakan undang-undang sedia ada.

Katanya, perkara itu diusulkan sendiri oleh beliau dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

“Moratorium sebelum ini membabitkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Hasutan 1948.

“Ini juga termasuk beberapa undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jemaah menteri bersetuju tarik semula moratorium semua undang-undang berkenaan Jumaat lalu,” katanya dalam sidang media ketika melawat ke Kuil Seri Maha Mariamman Seafield, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor.

Ini katanya, moratorium sedia ada menyekat pihak berkuasa dan keselamatan daripada melaksanakan undang-undang berkenaan kerana ia dalam proses dikaji semula atau dihapuskan.

“Tetapi dalam keadaan semasa dengan apa yang sedang dan telah berlaku sekarang, terutama yang berkaitan dengan kes kuil ini, kabinet bersetuju membenarkan polis bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Ini kerana kita ada instrumen undang-undang yang cukup berkesan dan pihak polis memerlukan satu panduan untuk mereka melaksanakan tugas menjaga keamanan dan keselamatan awam,” jelas beliau.

Tambah beliau, jika undang-undang berkenaan masih pada status moratorium, polis terpaksa mengambil tindakan yang terlalu berhati-hati sehingga membayangkan polis tiada kuasa dan boleh mendorong pihak tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan.

Loading...

Leave a Reply