Rumusan inkues Adib hari kedua

BERIKUT rumusan prosiding hari kedua inkues punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Hari ini, Mahkamah Koroner Shah Alam dan pihak-pihak berkepentingan diketuai oleh Koroner Rofiah Mohamad telah melakukan tinjauan di dua tempat berbeza iaitu:

  1. Persimpangan Jalan USJ 16 yang berdekatan dengan tapak insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman.
  2. Tapak Simpan Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Balai Bomba SS 17.

Di Persimpangan Jalan USJ 16 yang berdekatan dengan tapak insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, mereka di bawa ke lokasi awal kejadian kebakaran kereta sebelum ditunjukkan kawasan jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) berhenti di jalan itu untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Saksi kedua, Md Elliza Mohd Noor yang juga pemandu FRT juga turut serta untuk menjelaskan kepada mahkamah bagaimana jentera itu berundur setelah diserang sekumpulan lelaki India pada malam kejadian.

Di lokasi kedua iaitu di tapak Simpan Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di Balai Bomba SS 17, sekali lagi penerangan diberikan oleh saksi kedua, Md Elliza Mohd Noor yang merupakan pemandu jentera itu pada malam kejadian.

Md Elliza memberi keterangan berhubung FRT mengundur dalam menyelamatkan diri ketika diserang sekumpulan lelaki India.

Di tapak simpan ini juga saksi ketiga iaitu Pemandu van EMRS, Ahmad Shahrill Othman memberitahu bahawa kehilangan’ Adib hanya disedari selepas van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan jentera Fire Rescue Tender (FRT) tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Beliau berkata, dia tidak tahu di mana arwah Muhammad Adib ketika van yang dipandunya berpusing sebelah kiri akibat dilanggar dari belakang oleh jentera FRT yang ketika itu berundur akibat diserbu sekumpulan 50 orang awam.

“Saya tak perasan di mana arwah Adib, saya hanya dengar bunyi riuh-rendah, van EMRS digoyang, diketuk sekumpulan orang awam,” katanya.

Di tapak tersebut juga saksi ketiga turut berkata,

“Sepanjang insiden itu iaitu dari FRT mengundur dan menghimpit van EMRS sehingga berpusing saya langsung tidak nampak kelibat Adib dan tidak mendengar suara Adib. Hanya kedengaran suara riuh rendah saja.

“Kemudian saya terus menekan minyak menuju ke arah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk meminta bantuan. Saya parkir van di perkarangan IPD berkenaan dan terkejut apabila melihat anggota pemadaman bernama Hazim muncul dari bahagian belakang van,” katanya pada pendengaran hari kedua inkues itu.

Katanya beliau kemudian bertanya kepada Hazim “Adib mana? Adib mana?,” dan Hazim menjawab “tak tahu.”

“Seminit selepas kami sampai, jentera FRT pun sampai di IPD berkenaan. Saya tak tahu saya sampai dalam berapa minit sebab keadaan gelap, panik dan rasa macam nak mati. Sejurus sampai di IPD, saya baru perasaan tayar belakang sebelah kiri van yang saya pandu meletup dan cermin sisi bahagian belakang pecah..side miror pun hilang, dicabut. Terdapat beberapa topi keledar di dalam van berkenaan,” katanya.

“Selepas jentera FRT sampai di IPD, kami membuat panggilan baris (roll-call) bagi menyemak anggota, masa itulah kami sedar arwah Adib tiada. Saya bayangkan arwah Adib dalam jentera FRT,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah turut mengemukakan soalan kepada saksi ketiga, “Apa tindakan pihak kamu selepas tiba di IPD?”

Ahmad Shahrill menjawab: “Kami tidak sempat membuat laporan polis kerana masa itu sistem down beberapa minit.. pihak polis masuk ke tempat rusuhan bagi mencari arwah. Pihak kami pula cuba menghubungi arwah dan panggilan itu dijawab orang awam dan memberitahu Adib dibawa ke Hospital SJMC.

“Kami pergi ke hospital SJMC untuk melawat arwah namun kami tak dapat tengok arwah sebab dia dirawat di bahagian kecemasan… Selepas itu, penyelia kami Encik Badrul membuat laporan di balai polis USJ17 selepas saya menjelaskan insiden berkenaan,” katanya.

Terdahulu, mahkamah juga memberikan sebuah jentera FRT mainan dan kenderaan EMRS mainan kepada saksi itu bagi menjelaskan insiden berkenaan.

Saksi ketiga itu berkata beliau juga tidak nampak sebarang senjata yang digunakan perusuh dalam insiden itu dan berkata beliau sendiri tidak tahu bagaimana beliau boleh memandu van EMRS berkenaan dalam keadaan tayar belakang pecah.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung esok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *