Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Terengganu hampir pasti terima wang royalti minyak

KUALA TERENGGANU – Terengganu hampir pasti menerima wang royalti minyak sebanyak 5 peratus sebagaimana dijanjikan Pusat.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau menerima minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada minggu lepas yang mencatatkan Terengganu tidak akan dianaktirikan dari segi pemberian wang royalti.

Berdasarkan minit mesyuarat itu juga menurutnya, terma wang ihsan sudah ditukar kepada wang royalti yang akan dibayar terus ke dalam akaun kerajaan negeri.

“Itu sudah ada dalam minit mesyuarat, juga ditulis semua negeri tidak akan dianaktirikan walaupun mempunyai perbezaan politik antara Pusat dan negeri.

“Ini agak melegakan dan kita berpegang bahawa itulah yang dipegang dan diputuskan,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Sinar Harian di Hotel Permai, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalannya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan, Lim Guang Eng dan semua menteri besar dan ketua menteri.

Terengganu dijangka memperoleh lebih RM1.6 bilion setahun wang royalti bergantung kepada nilai semasa pasaran minyak dunia.

Tun Dr Mahathir sebelum ini memaklumkan kerajaan persekutuan di bawah Pakatan Harapan akan memenuhi janji menyalurkan 20 peratus keuntungan hasil petroleum negara kepada empat negeri pengeluar sumber itu.

Bagaimanapun, Terengganu menuntut agar pembayaran royalti minyak oleh kerajaan persekutuan dibuat mengikut perjanjian yang telah dimeterai dengan negeri-negeri pengeluar terlibat iaitu sebanyak 5 peratus berasaskan pengeluaran minyak dan gas, bukannya daripada keuntungan bersih.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén