Roti canai Pok Joe terbaik boh…

199

BIARPUN tidak berpelajaran tinggi, seorang pemuda di Kampung Belukar Jambu, Kuala Terengganu membuktikan hal itu tidak menghalangnya untuk berjaya dalam perniagaan.

Zulfakarudin Zakaria, 32, berkata, biarpun hanya berniaga roti canai, berkat kesungguhannya, roti canai disediakannya mampu terjual 200 keping sehari dan mencecah 500 keping sehari pada hari minggu dan musim cuti sekolah.

“Biasanya saya menyediakan 30 kilogram tepung siap diuli pada setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan yang datang ke kedai bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari.

“Selain berniaga di kedai, saya dan isteri, Nor Syuhaidah Zamari, 27, turut mengambil tempahan pelanggan untuk pelbagai acara termasuk kenduri kesyukuran dan majlis perkahwinan.

“Malah kami turut menyediakan perkhidmatan menebar roti canai di rumah pelanggan, sekali gus pengunjung di majlis itu boleh menikmati roti canai baru disiapkan seperti di kedai,” katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Zulfakarudin atau lebih mesra dipanggil Pok Joe berkata, dia mempelajari ilmu menyediakan roti canai itu daripada bapanya, Zakaria Abdullah, 55, sejak berusia 13 tahun.

“Ketika zaman remaja, saya tidak berminat untuk meneruskan persekolahan di peringkat menengah, sebaliknya membantu bapa berniaga roti canai.

“Ramai rakan mempersendakan saya kerana tidak bersekolah, kononnya tidak mempunyai masa depan cerah, tetapi sendaan itu memberi perangsang kepada saya untuk berjaya dalam perniagaan.

“Saya hanya menjual roti canai tetapi perolehan harian saya hasil daripada berniaga mungkin jauh lebih lumayan berbanding rakan seusia yang kini bekerja dalam sektor awam atau swasta,” katanya.

Dia berharap pengalamannya itu boleh dijadikan teladan kepada orang ramai terutama generasi muda yang mungkin tidak berjaya atau tercicir dalam pelajaran.

“Tidak semestinya apabila tidak berpendidikan tinggi, ia akan menutup peluang seseorang untuk berjaya dan mengejar impian mereka.

“Saya sangat bertuah kerana isteri membantu dan menyokong sejak mula berniaga pada 2010 sehingga sekarang, malah isteri sudah mempunyai kemahiran membuat roti canai dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Nor Syuhaidah berkata, pada peringkat permulaan berniaga, dia dan suami hanya menyediakan sebanyak lima kilogram roti canai sehari.

“Bagaimanapun berkat kesabaran, kami kini mampu menjual lebih 30kg roti canai sehari dan menggunakan perkhidmatan beberapa orang penebar roti canai sambilan.

“Kami masih mengekalkan harga iaitu RM1 sebiji untuk roti canai kosong manakala RM2 untuk roti telur biarpun kos bahan mentah semakin naik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here