Rotan murid enggan solat, ustaz dipenjara 6 bulan, denda RM2,000

0
2077

MAHKAMAH Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap seorang ustaz atas pertuduhan mencederakan kaki seorang pelajar, Ogos tahun lalu.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Adib Abd Halim, 24, selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Muhammad Adib turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Dia kemudian membayar denda.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap OKS selepas membenarkan permohonan peguamnya, Khairul Amin Abdullah untuk memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan OKS membayar denda itu serta-merta.

Turut hadir pada prosiding itu ialah ibu bapa Muhammad Adib, isterinya serta Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) Normala Sudirman.

Mengikut pertuduhan, OKS yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada 28 Ogos tahun lalu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelajar ketika kejadian berusia 11 tahun di kaki kiri dan kanan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah di Bandar Seri Putra dalam Daerah Hulu Langat, jam 2.25 petang, 16 Ogos 2017.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Khairul Amin dalam rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya atas alasan OKS adalah pesalah kali pertama selain masih muda.

“Sejak kejadian itu, tiada lagi laporan polis dibuat oleh mana-mana ibu bapa berkenaan tindakan OKS. OKS juga baru berkahwin dan kini bekerja di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Mohon mahkamah memberikan perintah bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah terhadap OKS dengan mengambil kira anak guam sebagai seorang pendidik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap OKS kerana kes di bawah seksyen itu kini berleluasa.

“OKS berada di usia yang matang, seharusnya tahu membezakan antara yang baik dan buruk. Diharap hukuman dapat memberi kesedaran kepada masyarakat seterusnya menghalang jenayah seperti ini berulang,” katanya.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes itu, pihak pendakwaan memanggil 12 saksi, manakala pembelaan memanggil empat saksi termasuk OKS memberi keterangan.

Dalam pada itu, Normala yang ditemui media di luar mahkamah berkata, Muhammad Adib seorang guru yang baik, sangat disayangi oleh pelajar dan berharap rayuan di mahkamah akan membuktikan dia tidak bersalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here