Portal berita terbaik anda

Politik

Rosol Wahid keluar UMNO

KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, mengumumkan keluar UMNO dan menjadi anggota Bebas, berkuatkuasa hari ini.

Katanya, walaupun sedih dengan keputusan itu, beliau nekad demi kebaikan seluruh warga Hulu Terengganu, terutama pengundi.

“Keputusan untuk menjadi ahli parlimen bebas diputuskan tanpa paksaan dan dibuat secara sukarela selepas mendapati sukar untuk saya menunaikan tanggungjawab berikutan tiada peruntukan diberikan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi membantu rakyat.

“Dalam keadaan hari ini, saya tiada tempat untuk bergantung terutama untuk memenuhi permintaan rakyat selepas tiada peruntukan disalurkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan negeri yang kini dikuasai PAS,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rosol yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan bekas EXCO kerajaan negeri berkata, setakat ini beliau belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 lalu, Barisan Nasional (BN) Terengganu memenangi dua daripada lapan kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu, manakala enam lagi kerusi Parlimen iaitu Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dimenangi PAS.

Dengan keputusan Rosol menjadi wakil rakyat Bebas, kerusi Parlimen Barisan Nasional (BN) Terengganu kini tinggal satu kerusi iaitu di Parlimen Besut yang diwakili Datuk Seri Idris Jusoh.

Loading...

Leave a Reply