Roboh rumah warisan: Inikah sikap kerajaan Melayu-Islam?

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mempersoalkan tindakan Kerajaan Terengganu merobohkan rumah warisan di Kampung Tanjung, di negeri berkenaan.

Katanya, tindakan itu sekali gus memperlihatkan sikap kerajaan negeri yang tidak bertimbang rasa, selain tidak prihatin terhadap nilai warisan Terengganu.

“Isu ini adalah sangat menyedihkan kerana di Kuala Terengganu masih boleh dikatakan bandar tradisi dan sedang kehilangan begitu banyak warisan tradisinya dan kampung Tanjung di mana rumah itu terletak adalah antara kampung terakhir.

“Rumah warisan ini diroboh begitu kasar sekali, tuannya merintih, perkara ini berlaku di negeri yang diperintah oleh kerajaan Melayu yang laungkan hidup Melayu dan Islam, kenapa ini terus berlaku,” katanya di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan pihak berkuasa Terengganu yang merobohkan rumah warisan bercirikan seni bina Melayu tradisional di Kampung Tanjung, di Terengganu semalam.

Tindakan merobohkan kediaman itu dilakukan kira-kira jam 9 pagi tadi oleh dua buah jentolak.

Ketika kediaman itu dirobohkan, pemiliknya, Wan Mokhtar Wan Yusof, 64, ada di rumah itu.

Kekecohan yang berlaku ketika kerja-kerja merobohkan rumah itu menyebabkan orang ramai turut mengerumuni kawasan itu.

Menurut Wan Mokhtar, beliau diberikan notis mengosongkan kediaman yang dibina sejak awal 1900 itu, tiga hari lalu.

Mengulas lanjut, kata Raja Bahrin ketika suatu masa dahulu, kerajaan Pas mendakwa Umno zalim kerana meruntuhkan rumah Melayu daif, tetapi kenapa perkara sama terus dilakukan selepas Pas mentadbir Terengganu.

“Kalau betul rumah ini nak dirobohkan kenapa rumah ini tak dicabut secara sistematik kerana rumah Terengganu ini dibina secara rumah pasang siap,” katanya.

Justeru katanya, beliau bimbang dengan nasib warisan Melayu tempatan Terengganu untuk mencari tempat berlindung.

“Adakah mereka akan mengalami nasib sama penyu Terengganu yang hampir pupus?

“Nampaknya rakyat Terengganu yang cintakan Warisan akan terus menangis menanggung kesedihan kehancuran budaya warisan Melayu nenek moyang mereka seperti penyu kita,” katanya.

Sumber: sinar harian

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *