RM4 punya pasal…

0
3106

KUALA TERENGGANU – Hanya kerana RM4, lelaki naik hantu apabila mengugut mahu membunuh adik iparnya dalam kejadian di Kampung Sungai Rengas, di sini, semalam.

Kejadian dipercayai pada 12.30 tengah hari apabila suspek berusia 37 tahun dikatakan meminta wang daripada ibunya berusia 76 tahun.

Sumber berkata, warga emas itu bagaimanapun tidak melayan permintaan suspek kerana sudah dipesan ahli keluarganya supaya tidak memberi wang kepada lelaki terbabit memandangkan dia dipercayai mahu menggunakan wang itu untuk membeli dadah.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai hal itu, suspek naik angin dengan menuduh adik iparnya yang sedang memasak, bertanggungjawab memaklumkan perbuatannya yang suka meminta wang kepada ahli keluarga mereka yang lain.

“Bimbang diapa-apakan suspek, wanita berusia 30-an itu masuk ke dalam bilik bersama anak perempuannya berusia dua tahun.

“Ketika berada di dalam bilik, suspek beberapa kali memanggil nama adik iparnya sambil mengugut mahu membunuh mangsa.

“Pada masa sama, ibu suspek yang bimbang suspek bertindak lebih agresif terpaksa akur dan menyerahkan wang RM4 yang diminta anak lelakinya,” katanya.

Sumber berkata, suspek kemudian beredar meninggalkan rumah sebelum mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

Katanya, suspek berjaya ditahan di Kampung Sungai Rengas pada 1.45 pagi tadi.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here