RM100,000 dalam tin biskut lesap disamun

0
211

EMPAT lelaki bersenjatakan parang memecah masuk sebuah rumah di Bukit Rahman Putra, di Sungai Buloh dan melarikan wang tunai berjumlah RM100,000 yang disembunyikan di dalam sebuah tin biskut, awal pagi tadi.

Laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh remaja perempuan berusia 16 tahun yang berada bersama nenek, ibu saudara dan adiknya ketika rumah mereka dimasuki suspek kira-kira pada jam 3.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata selain wang tunai, suspek turut melarikan empat unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kita ada terima laporan berkenaan satu kes samun bersenjata, laporan dibuat oleh salah seorang ahli keluarga mangsa, kejadian berlaku kira-kira pada jam 3.45 pagi tadi.

“Dalam kejadian itu, kita dapati kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keempat-empat suspek menutup muka dan memakai sarung tangan ketika memecah masuk rumah terbabit, dan kita syaki kesemua suspek adalah warga asing,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shafa’aton berkata pihaknya kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian samun itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here