Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

Rindu nak makan nasi lemak, lelaki Inggeris ini sanggup terbang 9,600km ke KL

KUALA LUMPUR — Bagi memenuhi keinginan terpendam untuk menikmati keenakan nasi lemak, seorang lelaki Inggeris sanggup membatalkan niatnya menghabiskan musim sejuk di Greece.

Itulah yang terjadi kepada selebriti YouTube, Darren Cronian, 45, yang sanggup melalui perjalanan panjang dari Athens ke sini selepas beliau melihat gambar makanan tersebut melalui di Instagram.

“Saya terbang dari Athens ke Singapura, yang mengambil masa selama 11 jam, dan enam jam kemudian berangkat ke Kuala Lumpur,” katanya yang turut memuat naik detik perjalanan sejauh 9,600 kilometer ke akaun Youtube beliau.

Lantaran minatnya terhadap hidangan itu yang berputik sejak lima tahun lalu ketika pertama kali beliau melawat Malaysia, Darren terus mendapatkan nasi lemak berlauk ayam goreng sejurus tiba di negara ini.

“Itulah makanan pertama yang saya cuba sebaik menjejakkan kaki di sini dan seperti orang Inggeris yang lain, saya makan semua benda yang ada dalam pinggan seorang diri,” katanya.

“Selepas itu bila tengok orang tempatan makan pakai tangan, saya pun ikut seperti mereka.”

Selain terpesona dengan kehebatan rasa nasi lemak, beliau turut mencuba juadah lain antaranya laksa Sarawak, mi goreng mamak, mi kolok serta beberapa hidangan orang India di Little India, Brickfields.

Darren juga menyukai kepelbagaian budaya Malaysia termasuk keramahan pendudukan mendorong beliau berasa senang seolah-olah berada di negara sendiri.

“Setelah menghabiskan masa selama seminggu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang ketika kunjungan kali pertama dulu, saya berasa selamat dan diterima,” katanya.

“Apa yang buat saya rasa Malaysia seperti rumah kedua adalah masyarakatnya, makanan dan aspek budaya di negara ini”.

Selepas kunjungan pertama, Darren sering melawat Malaysia, malah tinggal di negara ini selama sebulan atau dua bulan.

“Saya tidak pernah jumpa sebuah negara dalam masa lima tahun ini yang rakyatnya begitu ghairah dengan negara dan budaya mereka seperti Malaysia,” katanya.

Memulakan perniagaan atas talian sejak 2014, Darren kini memiliki lebih 11,000 pengikut melalui saluran YouTubenya iaitu “Remote Darren”.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén