Portal berita terbaik anda

Utama

Orang bujang dibenar rentas negeri atau tidak? Tunggu pengumuman PM petang ini

ORANG bujang berkemungkinan dibenarkan merentas negeri mulai minggu depan, bergantung kepada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata golongan bujang perlu bersabar menunggu pengumuman Perdana Menteri.

“Untuk orang bujang, saya difahamkan esok Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu, maka kita tunggu.

“Saya takut kalau saya umumkan nanti berbeza atau lebih awal daripada Perdana Menteri. Tentu saja banyak perkara akan disebut esok, kita tunggu.

“Kalau tak sebut, baru saya sebut untuk orang bujang (kebenaran rentas negeri). Maka, bersabarlah hingga esok” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

KKM bayang PKP, PKPB akan ditarik balik

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi bayangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) akan ditarik balik.

KKM menerusi kenyataan berkata, pengalaman yang dilalui ketika menjalani PKP dan PKPB pasti memberi kenangan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, rakyat menjadi saksi kepada satu sejarah yang tercipta apabila pertama kali PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

“Tidak pernah terbayang, rutin harian kita berubah sekelip mata. Jalan raya sunyi sepi, pusat beli belah ditutup, pengangkutan awam henti operasi, lapangan terbang ditutup.

“Malah kedai serba aneka yang beroperasi 24 jam 365 hari setahun, 7 Eleven beroperasi dengan had masa. Sejak PKP, kehidupan kita semua terkesan. Suka atau tidak, ia pengalaman yang akan dicatat dalam sejarah negara ini.

“Masak apa tak jadi hari ini, Cik Kiah sehinggalah tarian shuffle Ke Sana Ke Sini, ia akan kekal dalam ingatan kita,” katanya di Facebook.

Bagaimanapun, KKM meminta rakyat Malaysia menunggu pengumuman rasmi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang ini sama ada ditarik atau pun diteruskan.

“Jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan kerana kepatuhan SOP adalah kejayaan awal untuk semua rakyat Malaysia.

“Apa pun keputusan diumumkan nanti, kita semua akan terus hidup dengan cara baharu ‘ditemani’ COVID-19. Tiada siapa tahu bila kita akan kembali hidup norma biasa. Harapan kita agar vaksin ditemui segera,” katanya.

Loading...

Leave a Reply