Reman suspek kes bunuh Nur Alya disambung

0
607

PORT DICKSON: Penuntut kolej yang dipercayai membunuh bekas teman wanitanya, Nur Alya Damia Hairi, 19, di Taman PD Permata di sini, malam Khamis lalu, disambung reman sehingga 7 Jun depan.

Majistret Siti Khairiah Abdul Razak membenarkan permohonan dikemukakan pegawai penyiasat kes itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, lelaki berusia 19 tahun itu yang memakai pakaian lokap berwarna jingga, tiba di Mahkamah Majistret di sini, menaiki van polis pada jam 9.10 pagi.

Akhbar sebelum ini melaporkan, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mayat Nur Alya yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD), ditemui seorang penduduk di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di sini, sebelum dia menghubungi polis.

Susulan itu, polis dalam tempoh 15 minit, mengesan dan menahan tertuduh yang juga pelajar kolej sama, di rumah sewanya di Taman PD Idaman, kira-kira satu kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari rumah sewanya di Taman Selasih selepas dijemput tertuduh dengan menaiki PROTON Wira dan mereka dikatakan ke satu lokasi berdekatan perumahan itu sebelum pertengkaran tercetus.

Mahkamah Majistret di sini, sebelum ini membenarkan lelaki itu direman tujuh hari bermula Jumaat lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here