Remaja maut dibelasah akibat salah faham

0
5026

KUALA LUMPUR: Akibat salah faham, seorang remaja lelaki maut dibelasah sekumpulan remaja berhampiran sebuah restoran makanan segera di Taman Melati, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa yang berusia 17 tahun dikatakan sedang menolak motosikalnya yang rosak di tepi jalan restoran makanan segera berkenaan sebelum dipukul menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal oleh sekumpulan remaja.

Mangsa yang berasal dari Kampung Fajar, Batu 8 Hulu Kelang dekat sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher.

Terdahulu, abang mangsa bersama kira-kira 15 rakan mengadakan pertemuan dengan sekumpulan 10 remaja lain di lokasi terbabit untuk menyelesaikan satu masalah.

Bagaimanapun, semasa pertemuan berlangsung, berlaku salah faham dan pergaduhan tercetus antara dua kumpulan terbabit.

Ketika pergaduhan itu, mangsa berada hampir dengan abangnya, menunda motosikalnya yang rosak di tepi jalan.

Beberapa suspek kemudian ternampak mangsa dan pergi ke arahnya sebelum memukulnya dengan topi keledar serta besi pengunci motosikal sehingga mangsa meninggal dunia.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang remaja lelaki yang juga suspek utama berusia 20 tahun serta 10 rakan mangsa termasuk tiga remaja perempuan berusia antara 13 hingga 18 tahun untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan polis ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Polis Kuala Lumpur akan mengeluarkan satu kenyataan berhubung kes itu dalam masa terdekat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here