Portal berita terbaik anda

Utama

Remaja mandi laut bersama rakan dikhuatiri lemas, dihanyutkan arus deras

KOTA KINABALU – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian di pantai sebuah pusat peranginan di Karambunai pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Yusuf Suhaibon, 19, dikatakan bersama dua lagi rakannya sedang mandi di pantai terbabit.

Bagaimanapun, ombak deras melanda pantai berkenaan secara tiba-tiba dan menarik mangsa serta rakannya ke kawasan laut dalam.

Dua rakan mangsa dipercayai sempat menarik tangan mangsa namun arus deras mengakibatkan mereka gagal menarik mangsa ke tempat selamat.

Kedua-dua rakan mangsa difahamkan berjaya berenang ke tepi pantai sebelum meminta bantuan orang awam untuk menghubungi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 8.58 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat turut disertai pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas masih diteruskan oleh pihak berkuasa.

“Polis juga sudah mendapatkan maklumat mangsa daripada kedua-dua rakan dan pengadu kejadian ini,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply