Remaja Indonesia ditemui hidup selepas 49 hari hanyut di laut

0
141

PETALING JAYA: Seorang remaja Indonesia ditemui dalam keadaan lapar, dahaga dan ketakutan di Perairan Guam, beribu-ribu km dari perairan Sulawesi Utara selepas 49 hari hanyut di laut.

Jakarta Post melaporkan remaja itu, Aldi Novel Adilang, 19, bekerja sebagai penjaga lampu bagi perangkap ikan terapung dikenali rompong, 125 km dari daratan.

Pada 14 Julai lalu, angin kuat menghayutkan pondok tempat berteduhnya dari rompong ke perairan Guam, lokasi antara Indonesia dan Jepun.

Bagaimanapun, remaja itu diselamatkan oleh sebuah kapal Panama. Sebelum itu, lebih 10 kapal berlayar melepasi Aldi namun gagal mengesannya, ketika dia melambai meminta bantuan.

Duta Indonesia di Osaka, Mirza Nurhidayat, yang menguruskan kepulangan Aldi selepas diselamatkan berkata pondok Aldi tidak mempunyai dayung atau enjin.

Tali yang mengikat pondoknya pada rompong itu terputus akibat angin kencang dan menghayutkannya jauh ke utara.

“Pemilik rompong itu mempunyai banyak rompong, mungkin 50, tersebar di perairan utara Manado,” kata Mirza dipetik sebagai berkata.

Ketika Aldi hanyut, bekalannya hanya cukup untuk beberapa hari, jadi dia menangkap ikan makan dan meminum air laut.

“Selepas dia kehabisan gas memasak, dia membakar pagar kayu rompong untuk membuat api untuk memasak. Dia minum dengan menghirup air dari pakaiannya yang dibasahi air laut,” kata Mirza.

“Aldi berkata dia takut dan selalu menangis ketika hanyut,” kata diplomat lain, Fajar Firdaus.

“Setiap kali dia melihat kapal yang besar, dia berharap, tetapi lebih 10 kapal berlayar melepasinya, tiada seorang pun daripada mereka berhenti atau melihat Aldi,” kata Fajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here