Kisah pemuda Malaysia masak untuk pelarian Syria di Greece dapat perhatian dunia

42

KUALA LUMPUR: Melihatkan foto mayat kanak-kanak pelarian Syria berumur tiga tahun, Aylan Kurdi yang terdampar di pantai Laut Mediterranean September lalu, luluh hati Rayyan Haries dan dia rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu bagi membantu.

Rayyan Haries, 25, kemudian membulatkan tekad, meninggalkan tanah air menuju Pulau Lesbos, Greece yang menjadi tumpuan kira-kira 2,000 pelarian Syria yang mahu mencari hidup baharu di Eropah.

Anak muda itu graduan program Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Teknologi MARA (UiTM), sudah berada di pulau itu sejak sebulan lalu bagi membantu pelarian menerusi dapur jalanan yang dikendalikannya.

Kini, cerita misi kemanusiaan Rayyan di Pulau Lesbos sudah menjadi sebutan dalam kalangan warga Eropah selain pelarian Syria sendiri.

“Saya berada di pantai Skala, Pulau Lesbos dan tugas saya adalah memasak dan menyediakan makanan untuk pelarian Syria. Saya biasanya sediakan mereka sup dan teh panas.

“Pada saya, ini adalah satu kepuasan dan saya gembira dapat membantu pelarian Syria ini yang menjadi mangsa kekejaman perang di tanah air mereka sendiri,” katanya.

Katanya, selain sup, secara rutin beliau menyiapkan 1,000 hingga 3,000 roti dan menyediakan kira-kira 300 liter teh panas setiap hari untuk pelarian Syria di pulau berkenaan dan ada kalanya terpaksa menyiapkan hingga 4,000 roti.

Rayyan yang menggambarkan dirinya sebagai blogger sukarelawan, mengakui sukar meninggalkan keluarga dan negara ini, namun semangat kemanusiaannya terlalu menebal untuk membantu mangsa perang.

Katanya, beliau sudah biasa menuju ke zon konflik untuk memberi bantuan kemanusiaan termasuk berada di Nepal selepas bencana gempa bumi yang melanda negara berkenaan April lalu.

Mengikut Rayyan, wang hasil derma daripada ahli keluarga, rakan dan orang ramai menerusi akaun PayPal beliau iaitu r.haries.er@gmail.com digunakan untuk perbelanjaannya di Greece.

“Saya berjaya mengumpulkan wang sebanyak Euro 1,000 (RM4,700) dan dengan wang itulah saya jadikan tambang serta perbelanjaan lain untuk ke Lesbos membantu pelarian Syria.

“Ibu banyak mempengaruhi diri ini dan saya cintakan kerja sukarelawan. Saya faham mungkin ada yang berkata kerja gila merantau jauh membantu mangsa perang, tetapi pada saya ia kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.

Bagi anak muda dari Subang Jaya ini, beliau tidak mempunyai masalah dengan publisiti meluas diberikan kepadanya, termasuk daripada agensi media berpangkalan di Eropah.

Rayyan berkata, publisiti terhadap bantuan kemanusiaan dilakukannya bukanlah berniat menunjuk, tetapi bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepuasan dan memupuk sikap membantu sesama manusia.

Menceritakan pengalamannya di Greece, Rayyan berkata, tugasnya memasak dan memberikan makanan adalah sebahagian usahanya memberi harapan kepada pelarian Syria.

“Makanan adalah harapan dan saya suka memberikan harapan kepada orang yang memerlukannya. Justeru, apabila makanan diberikan, maka pelarian Syria ini mendapat harapan.

“Mereka tersenyum setiap kali hidangan diberikan, yang mana saya fikir ringkas dan ala kadar sahaja. Perkara sebegini memberikan mereka harapan untuk terus hidup,” katanya.

Anak muda itu berkata, bantuan yang terhad terutama selimut, pakaian dan stok makanan adalah cabaran utama beliau dan rakan sukarelawan lain untuk meneruskan kerja sukarelawan.

Justeru, Rayyan sangat mengharapkan bantuan terus tiba untuk pelarian Syria dan beliau bersama kira-kira 20 anggota sukarelawan lain sanggup untuk menguruskannya.

“Saya berharap ramai lagi rakyat Malaysia sudi menghulurkan bantuan bersama masyarakat dunia untuk membantu golongan mangsa perang ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here