Portal berita terbaik anda

Utama

Ramkarpal bidas PAS pertahan kempen utamakan produk Muslim

Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membidas tindakan PAS mempertahankan kempen yang menggesa orang Islam “mengutamakan” produk buatan Muslim.

Kata wakil rakyat DAP itu, sebagai seorang peguam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sepatutnya lebih arif bahawa kempen seperti itu hanya akan membawa “keburukan yang serius ” terhadap masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dia merujuk kepada kenyataan Takiyuddin hari ini yang menyifatkan kempen tersebut sebagai “inklusif dan kompetitif”.

“Saya tak nampak apa-apa kebaikan daripada gesaan Takyuddin itu.

“Dalam banyak-banyak orang, Takiyuddin, seorang yang terlatih dalam undang-undang, yang sepatutnya faham keburukan serius kempen seperti itu terhadap sosial, (dan) boleh membawa kepada polarisasi serta memecahbelahkan kaum di negara ini,” kata Ramkarpal dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, menggalakkan kempen seperti itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak seseorang untuk mencari nafkah.

Tambah pengerusi biro undang-undang DAP itu lagi, Malaysia telah lama menikmati faedah daripada import dan eksport barangan ke negara-negara bukan Islam.

Katanya lagi, PAS sepatutnya menggalakkan perniagaan Muslim bersaing dengan perniagaaan lain, bagi mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing di peringkat tempatan atau antarabangsa, selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

“Takiyuddin boleh mendakwa bahawa dia merujuk kepada industri tempatan, tapi logik yang sama tetap digunapakai- mengekang perniagaan berdasarkan kaum (semata-mata) akan memberikan kesan negatif terhadap perniagaan itu.

“(Ini) kerana ia akan menyebabkan kurangnya daya saing kerana mereka hanya memenuhi permintaan pasaran yang terhad,” katanya.

Loading...

Leave a Reply