Ramai kecewa kedai makan percuma Jamal ditutup

0
1405

PETALING JAYA: Arahan menutup operasi Restoran Gabungan NGO 1Malaysia (GN1M) seliaan Datuk Seri Jamal Yunos pasti menyebabkan orang ramai kecewa dan terkilan, kata peguam ketua Umno Sungai Besar itu, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Imran berkata restoran itu mendapat sambutan menggalakkan daripada warga setempat dan beliau akan bertemu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk meminta penjelasan tentang status restoran itu.

“Kita beri makanan tengah hari secara percuma dan bulan puasa kita beri juada berbuka puasa percuma untuk orang yang memerlukan.

“Sudah tentu penerimaan daripada orang ramai dan sambutan yang mengalakkan terhadap usaha pemberian makanan percuma itu menyebabkan mereka terkilan dengan keputusan itu,” katanya.

Semalam dilaporkan DBKL dipercayai mengeluarkan notis mengarahkan GN1M mengosongkan premis di Jalan Pahang, Kuala Lumpur itu sebelum 18 Jun.

Baca: Restoran makan percuma Jamal diarah tutup

Imran berkata sekiranya benar restoran itu tidak mendapat kebenaran bertapak, pihaknya mahu memohon tempoh pengosongan yang munasabah.

Beliau berkata tempoh pengosongan yang diberikan terlampau singkat dan pihaknya mahu perlu menyemak semula dengan pengurusan restoran.

“Apa yang saya dimaklumkan sebelum ini ada kebenaran sementara untuk menduduki tapak tersebut. Cuma yang saya tak boleh buktikan kebenaran bertulis. Tak ada pada saya sekarang ini,” katanya.

Imran berkata pengurusan restoran akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Mereka ada kuasa dan ada punca kuasa melaksanakan apa sahaja undang-undang dan kita kena akur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here