Rakyat perlu sabar dengan kerajaan – Ahli Parlimen PKR

41

RAKYAT diminta bersabar dan memberi masa kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas kerajaan kembali berada di landasan betul dalam memacu semula perkembangan ekonomi Malaysia.

Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai berkata, pihaknya percaya keadaan ekonomi dijangka semakin baik menjelang tahun hadapan dan kerajaan dapat menunaikan segala manifesto yang dituntut rakyat.

“Saya faham ada rakyat kecewa dengan kita, tetapi pada masa sama mereka harus faham bahawa kita mengalami kekangan dan kerajaan perlukan masa untuk buktikan apa yang mereka janjikan.

“Saya nampak masalah paling besar pada rakyat adalah tekanan ekonomi dan kita berusaha bantu kurangkan beban itu atau rangsang ekonomi, maka rakyat kena sabar sebelum dapat rasai perubahan mulai tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Ming Kai menyampaikan baucar ‘Kembali ke Sekolah’ bernilai RM150 kepada 300 pelajar sekolah yang terdiri daripada keluarga miskin di kawasan Parlimen Alor Setar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa berdasarkan tinjauan pendapat, penarafan Tun Dr Mahathir Mohamad merosot dalam enam bulan sejak beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ming Kai berkata, pihaknya percaya bahawa kemerosotan itu berlaku berkait rapat dengan kekecewaan rakyat berikutan terdapat manifesto yang belum dapat dilaksana khususnya membabitkan aspek ekonomi.

“Kerajaan mempunyai senarai projek diyakini mampu merangsang ekonomi yang boleh dijayakan sekurang-kurangnya bermula tahun depan, sebelum faedahnya dirasai rakyat.

“Mulai tahun depan, kerajaan akan memperoleh RM40 bilion cukai yang belum dikembalikan dan apabila dana itu masuk ke dalam pasaran, ia akan merangsang ekonomi selain pelaksanaan beberapa projek mega yang sebelum ini ditangguh,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here