Rakaman dashcam bukti polis tidak tendang motosikal hingga kemalangan

Sejak semalam tular beberapa klip video bersama dakwaan di media sosial kononnya anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah menendang motosikal yang dinaiki dua remaja sehingga mengakibatkan kemalangan serta kecederaan parah kepada mangsa di Tanjung Tokong.

Menerusi video tersebut orang ramai dilihat meluahahkan rasa tidak puas hati kepada tiga anggota polis terbabit sambil cuba ditenangkan oleh beberapa lagi anggota polis yang baru tiba di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong dalam satu kenyatan kemudiannya menafikan anggotanya menendang motosikal terbabit sebaliknya dua remaja tersebut telah melanggar lampu isyarat sebelum bertembung dengan sebuah kereta berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Sri Tanjung Pinang, Tanjung Tokong.

Tambah Soffian , pihaknya juga sudah menerima laporan daripada pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Anggota terbabit mengarahkan mereka memberhentikan motosikal, namun kedua-duanya ingkar dan terus melarikan diri.

“Mereka tidak memberhentikan motosikal ketika di lampu isyarat merah dan terlanggar dengan kereta dipandu lelaki dari arah Georgetown menuju ke Tanjung Bunga,” katanya.

Terbaru tular sebuah rakaman dashcam di Facebook yang membuktikan bahawa tiada polis yang menendang motosikal berkenaan sebelum kemalangan berlaku.

Menerusi video berdurasi 1 minit itu, jelas kedua-dua remaja terbabit yang tidak mengenakan topi keledar telah melawan arus di hadapan Hotel Jazz dan memecut laju meninggalkan anggota polis berkenaan.

Mereka kemudian dilihat melanggar lampu isyarat sebelum bertembung dengan sebuah kereta berwarna putih dari arah kiri dan kemudian hilang dari pandangan.

Beberapa saat kemudian, baru muncul kelibat dua anggota polis URB yang cuba mendekati mangsa yang tidak lagi kelihatan di persimpangan jalan tersebut.

Loading...

Leave a Reply