Portal berita terbaik anda

Politik

Rahim masuk PPBM sebab Umno sudah diselaputi ‘kanser’

MELAKA TENGAH – Bekas Ketua Menteri Melaka mengambil keputusan keluar Umno dan menyertai PPBM kerana mendakwa parti itu kini telah diselaputi kanser yang sukar diiubati dan disembuhkan.

Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata, beliau mengambil keputusan berkenaan selepas membuat solat istikarah dan meletakkan keyakinan PPBM mampu membawa suara perjuangan dan kepentingan orang Melayu apabila Umno sudah tidak lagi relevan.

Menurutnya, selain terpalit dengan pelbagai isu kontroversi termasuk 1MDB, roh dan jasad perjuangan Melayu yang selama berada dalam Umno telah berhijrah ke PPBM yang mana selama ini Umno pernah melalui satu fasa kecemerlangan bermula dari kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Rasuah sebagai kanser sukar untuk dibebaskan dan dibuang kerana kita telah mengamalkan sejak beberapa dekad hingga ke tahap menghancurkan perjuangan orang Melayu, untuk buangkan (kanser) dua, tiga tahun satu yang mustahil kerana kanser itu merosakkan segala perjuangan dan tamadun dan nilai nilai perjuangan.

“Selepas lebih 40 tahun dalam Umno, saya sedih tinggalkan Umno tapi perlu menerima hakikat bahawa kekalahan PRU lalu serius dan sukar untuk pulihkan Umno,” katanya.

Rahim berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi PPBM Melaka, Datuk Mohd Redzuan Yusof di Ayer Keroh di sini, tadi.

Jelas Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) itu, beliau akan menggerakkan transformasi hijrah dalam kalangan ahli Umno di seluruh negara dalam siri jelajah yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurutnya, jelajah berkenaan bukan sahaja menjadi medium untuk menjelaskan isu-isu semasa berkaitan kerajaan PH di peringkat akar umbi namun menyeru ahli Umno lain untuk menyertai PPBM.

“Program jelajah hijrah ini akan diteruskan dan ini sebagai smbolik supaya dapat menjadi satu sumber kekuatan PPBM menambahkan keahlian, tapi kita akan tapis mereka yang boleh berikan sumbangan dan menjadi aset bukannya liabiliti kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Rahim turut menyerahkan lebih 100 borang ahli termasuk mereka dari Selangor dan Johor selain bekas Adun Tanjung Bidara, Datuk Ab Karim Sulaiman turut menyerahkan borang keahlian kepada parti berkenaan.

Loading...

Leave a Reply