Portal berita terbaik anda

Utama

Rafidah bantah pelaksanaan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah rendah

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dilaporkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan pembelajaran seni khat tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 tahun hadapan.

Beliau yang juga anggota Majlis Tindakan Ekonomi menjelaskan telah menghantar pesanan teks kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi menyuarakan pandangannya terhadap perkara itu.

“Saya baru hantar pesanan teks kepada Maszlee dan kata, bukankah lebih baik jika ia tidak dilakukan sebagai satu subjek?” katanya seperti dilapor Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Wacana Perdana Siri 21 bertajuk Team Factors Impending Malaysia Economic Progresss And How To Overcome Them di Yayasan kepimpinan Perdana, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan tidak boleh memaksa semua murid untuk belajar seni khat tulisan itu.

“Apabila anda paksa semua orang untuk buat kaligrafi, saya akan jadi orang pertama yang gagal (kaligrafi). Saya cabar anda, anda akan gagal kaligrafi.

“Seperti hal lain, artistik ialah satu bakat. Kita tak perlu bakat seperti itu dimasukkan sebagai bahagian wajib dalam kurikulum di sekolah,” katanya.

Isu pengenalan tulisan khat atau Jawi mendapat bantahan ramai pemimpin DAP serta dua pertubuhan mewakili pendidikan Cina, Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong).

Namun minggu lalu, Kementerian Pendidikan menegaskan untuk terus melaksanakan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian mengulangi komitmen untuk meneruskan langkah tersebut dengan menganggap tentangan yang diterima hanya daripada segelintir pemimpin DAP.

Semalam, perbincangan antara 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mencapai konsensus bahawa hanya pengenalan seni tulisan khat yang akan diperkenalkan di sekolah rendah pada tahun hadapan.

Loading...

Leave a Reply