Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Viral

Puluhan bikers Singapura tutup nombor plat elak dirakam AES

ADA penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Singapura dikesan menunggang di negara ini dengan menutup nombor plat pendaftaran dengan pita pelekat.

Perbuatan penunggang motosikal yang dipercayai berkonvoi dalam kumpulan sempena cuti hujung minggu itu dirakam seorang pengguna Lebuhraya PLUS, baru-baru ini.

Menerusi rakaman berdurasi 43 saat yang sudah mula tular sejak kelmarin, kelihatan kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dengan nombor plat pendaftaran bermula dengan abjad ‘F’ yang merujuk kepada pendaftaran motosikal di Singapura itu, melalui Lebuhraya PLUS.

Mereka bergerak dari arah selatan tanah air menuju ke utara, bagaimanapun tidak diketahui ke mana destinasi sebenar ditujui kumpulan penunggang motosikal berkenaan.

Difahamkan, tujuan kumpulan berkenaan menutup nombor plat pendaftaran motosikal mereka bagi mengelak dirakam kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di sepanjang lebuh raya di negara ini apabila mereka menunggang laju.

Tindakan menutup nombor plat pendaftaran motosikal ditunggang mereka itu dapat dilihat dengan jelas dalam rakaman video berkenaan sekali gus mengundang pertikaian netizen mengenai pemantauan pihak berkuasa terhadap tindakan kumpulan itu yang dilakukan secara terang-terangan.

Antara komen netizen, tindakan berani kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi dari negara jiran itu disebabkan ketiadaan pihak berkuasa yang memantau dan membuat rondaan berkala bagi mengesan perlakuan sedemikian.

Pengguna akaun Facebook dengan nama akaun, Ashari JD berkata, penunggang motosikal itu dipercayai sudah biasa berkonvoi secara berkumpulan di negara ini dan mengetahui perbuatan mereka akan terlepas susulan tiadanya penguatkuasaan ketat di negara ini.

“Salah satu sebab mereka ini berani berbuat demikian sebab kurangnya rondaan pihak berkuasa di lebuh raya.

“Malah, sepanjang laluan ketika mereka berkonvoi hampir 100 kilometer (km), memang tiada pun kelibat pihak berkuasa di kesan, mungkin sebab itu mereka berani berbuat demikian secara terang-terangan,” katanya.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén