Prototaip kereta terbang pertama akan didedah kepada umum tahun ini

KUALA LUMPUR – Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.

Beliau berkata, prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

“Tahun ini adalah sasaran yang realistk kerana kita sudah ada teknologinya. Semua ini tentang kecepatan pelaksanaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan inisiatif Pertumbuhan Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kereta itu adalah selamat dan berupaya terbang pada altitud rendah dan pada kelajuan munasabah.

“Pelaburan untuk membina prototaip lebih sedikit daripada RM1 juta,” katanya.

Mohd. Redzuan berkata, projek kereta terbang adalah cara untuk kerajaan mewujudkan persekitaran yang mendorong rakyat untuk memikirkan tentang teknologi baharu.

“Kami menyediakan pemangkin dan ekoistem bagi merangsang rakyat untuk berfikir melangkaui apa yang kami lakukan hari ini,” katanya.

Beliau berkata, projek itu juga bagi memanfaatkan keupayaan negara dalam sektor aeroangkasa, dron, kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan automotif.

“Malaysia mempunyai kepakaran untuk cemerlang dalam bidang aeroangkasa, dron, UAV dan kereta nasional dan kita perlu menggunakan kemahiran kita kerana apa yang penting adalah kita mahu menjadi negara pengeluar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, projek itu berasingan daripada projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *