Portal berita terbaik anda

Politik

PRK Chini: Ada petanda positif rakyat sokong PH – Fuziah

Tinjauan lapangan menunjukkan Pakatan Harapan (PH) mendapat maklum balas positif untuk bertanding bagi mencabar BN awal bulan depan.

“Ya, kita sudah selesai (membuat tinjauan lapangan) dan hasilnya sangat positif,” kata Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh.

Justeru kata ahli parlimen Kuantan itu lagi, pihaknya sedang menunggu keputusan akhir daripada pemimpin di peringkat pusat sebelum menentukan langkah selanjutnya.

“Sekarang terserah kepada PH pusat untuk membuat keputusan masuk bertanding,” katanya.

Terdahulu, Fuziah diminta mengulas mengenai dapatan tinjauan lapangan yang dilakuklan oleh PH sebagai langkah menghadapi PRK pada 4 Julai ini.

Ia susulan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pada 20 Mei lalu berkata partinya masih membuat tinjauan lapangan sebelum mengambil sebarang keputusan.

Menurutnya, PKR telah mengarahkan Fuziah untuk membuat tinjauan di lapangan termasuk peluang untuk memenangi PRK itu.

“Beliau (Fuziah) akan memberikan laporan kepada pusat. PKR masih menunggu laporan itu untuk mengambil langkah seterusnya,” kata Saifuddin lagi.

Sementara itu, Fuziah berkata PH Pahang akan bersetuju dengan sebarang keputusan yang diambil majlis pimpinan pusat gabungan berkenaan.

“Kalau setuju (untuk bertanding), PH Pahang bersetuju dengan calon PKR (yang dikemukakan dari pusat).

“Dan, jentera pun sudah bersedia untuk menghadapi PKR Chini,” katanya.

Kerusi DUN Chini kosong susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 6 Mei lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon ialah pada 20 Jun ini manakala tarikh mengundi – jika ada pertandingan – dijalankan pada 4 Julai.

Pada 1999 PKR pernah menawan kerusi DUN Chini daripada BN dengan majoriti tipis. Namun dalam pilihan raya selepas itu ia kekal di tangan BN.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal

PH tetap bertanding walaupun dijangka kalah teruk

Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini meskipun menyedari mereka mempunyai peluang tipis merampas kerusi Barisan Nasional (BN).

Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad, walaupun PH mempunyai rekod kekalahan teruk dalam lima PRK lepas namun ia boleh dijadikan medan menyampaikan mesej bahawa pentadbiran Putrajaya perlu bersih.

“DUN Chini memang kerusi di mana kita alami kekalahan agak dahsyat dalam PRU lepas, sama ada kita tanding atau tidak belum diputuskan dan pihak mana bertanding juga belum dimuktamadkan.

“Tapi secara prinsipnya, kita perlu bertanding untuk tidak beri laluan mudah, kalau tidak bertanding ia akan dianggap kita tak berani bertanding.

“Kita nak bawa mesej bahawa kerajaan perlu bersih dan bebas rasuah, kita perlu suarakan pada setiap masa,” katanya.

Loading...

Leave a Reply