PTPTN: Majikan tiada hak potong gaji pekerja – Menteri

0
86

PULAU PINANG- Majikan tidak berhak memotong secara terus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dibuat oleh kakitangan mereka.

Ini kerana, menurut Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran, akta PTPTN sekarang tidak membenarkan potongan terus itu dibuat oleh majikan tanpa kebenaran peminjam.

Tambah beliau, arahan potongan terus oleh majikan ke atas peminjam itu boleh dibuat sekiranya akta PTPTN dipinda pada masa depan.

“Bagaimanapun saya tidak boleh menjawab berkenaan pindaan akta (kebenaran kepada majikan untuk potong secara terus) kerana itu bukan di bawah bidang kuasa saya.

“Tetapi kalau ada (pindaan) itu, kita kena ikutlah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Employment Law Forum 2018 di Bayan Baru di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya akan melaksana kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 yang mampu memberi faedah lebih besar kepada peminjam berpendapatan rendah.

Menurut Wan Saiful, kaedah PGB itu akan dilaksana mengikut peratus potongan daripada gaji pe­minjam berbanding kaedah lama yang bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik.

Sementara itu, mengulas mengenai keluhan peminjam ekoran arahan pembayaran itu yang disifatkan membebankan mereka, Kulasegaran berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan dalam kedudukan kewangan negara yang kritikal ketika ini.

Malah, katanya, barisan Menteri termasuk beliau sendiri dipotong gaji sebanyak 10 peratus ekoran keadaan ekonomi sekarang.

“Jika keadaan ekonomi adalah baik, tidak ada sebab untuk kita buat seperti ini (arahan potongan PTPTN) dan saya yakin ekonomi kita akan kembali pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here