Portal berita terbaik anda

Utama

‘Saya boleh baca al-Quran walaupun tak ada kitab tu di rumah’ – Por Hui Ling

KUALA NERUS – Kehebatan luar biasa Por Hui Ling, 11, yang berjaya memperoleh 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) tahun ini telah mengejutkan ramai pihak.

Hui Ling memperoleh semua A dalam mata pelajaran Ulum Syariah, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Penghayatan Cara Hidup Islam, Adab, Amali Solat, Sirah dan Al-Quran.

Anak ketiga daripada empat beradik kepada pasangan Por Kim Sin, 62, dan Yeap Bee Fai, 43, itu mendedahkan dia bukan sahaja dapat membaca dan menulis jawi dengan begitu baik, tetapi juga boleh membaca al-Quran.

“Walaupun tidak mempunyai al-Quran di rumah, tetapi saya berpeluang membacanya ketika berada di sekolah.

“Ia sangat seronok sebenarnya kerana kita dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan berbeza,” katanya.

Hui Ling menunjukkan keputusan 8A diumumkan melalui online.

Menurut Hui Ling, meskipun dilahirkan sebagai bangsa Cina dan menganut agama Buddha, namun ia bukan satu kesalahan buatnya untuk mempelajari mengenai agama lain bagi menambah pengetahuan.

Ditanya mengenai minatnya untuk mengikuti kelas yang biasanya diambil oleh murid Melayu dan beragama Islam, jelas Hui Ling, ibu dan ayah merupakan pendorong utamanya untuk mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

“Saya mula ikut kelas KAFA ketika tahun 2 selepas dapat dorongan ibu bapa yang nak saya belajar sesuatu yang baru.

“Saya tak nafi pada mulanya agak susah untuk saya kuasai, tapi dengan tunjuk ajar guru dan kawan saya kini dah boleh baca dan menulis Jawi dengan baik,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Desa Jaya, di sini, semalam.

Hui Ling menunjukkan tulisan jawi hasil tulisan tangannya.

Menurut murid yang bakal memasuki tahun 6 apabila sesi persekolahan bermula awal tahun depan itu lagi, keputusannya untuk mengikuti pendidikan Kafa itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dengan murid Melayu yang lain.

“Selain saya, abang yang kini belajar di Sekolah Menengah Sains Setiu, Por Jie Hua, 14, juga turut ikuti kelas Kafa dan mendapat keputusan 5A 3B tiga tahun lalu.

“Malah, adik bongsu Por Jing Yi, 6, juga dilihat turut meminati tulisan jawi,” katanya yang turut mengajar adik lelaki bongsu yang kini merupakan murid pra sekolah di sekolah yang sama,” katanya.

Hui Ling (tengah) bersama Jie Hua dan Jing Yi yang turut boleh menguasai jawi.

Hui Ling menunjukkan kemahiran menulis jawi sambil diperhatikan Jie Hua dan adiknya.

Sumber: gps bestari

Loading...

Leave a Reply