Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Politik Malaysia stabil kerana PH kerajaan yang tunai janji – Guan Eng

PERSEKITARAN politik di Malaysia sekarang stabil kerana negara berada di bawah kerajaan yang stabil dan diterajui seorang perdana menteri yang tahu mentadbir, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini.

“Saya ingin tekankan yang Malaysia ada persekitaran politik yang stabil. Kita ada kerajaan yang stabil dan kita ada perdana menteri yang tahu masa depan politik negara.

“Dia (Dr Mahathir Mohamad) telah banyak kali kata dan saya mahu ulang apa yang dia kata- yang kerajaan ini akan kotakan janji,” kata Lim pada ucaptama di Persidangan Cukai Nasional 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, ketika diasak wartawan selepas ucapannya, Lim enggan mengulas sama ada wajar atau tidak Dr Mahathir menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri.

“Saya sudah kata dalam ucapan yang dalam aspek ekonomi, kita yakin sasaran kita akan dapat dicapai.

“Saya mahu ulang sekali lagi yang persekitaran politik di Malaysia adalah stabil.

“Tidak patut wujud ketidaktentuan politik kerana kita adalah kerajaan yang mengotakan janjinya,” tambahnya.

Tempoh pentadbiran Dr Mahathir sebagai perdana menteri jadi tumpuan selepas beberapa pihak menggesa beliau menamatkan penggalnya, walaupun wujud perjanjian antara empat parti Pakatan Harapan supaya beliau menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun selepas mentadbir.

Pemimpin pembangkang dan beberapa pemimpin PKR seperti Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin antara yang menggesa Dr Mahathir menghabiskan penggal sebagai perdana menteri. – 5 Ogos, 2019.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén