PM Finland letak jawatan gagal tunai manifesto pilihan raya

HELSINKI – Perdana Menteri Finland, Juha Sipila meletak jawatan, hari ini, selepas gagal melaksanakan reformasi sosial dan penjagaan kesihatan, selepas lima minggu pilihan raya parlimen.

Reformasi itu sukar dilaksanakan, sejak lebih sedekad sehingga menyebabkan beberapa kerajaan sebelum ini terpaksa dibubarkan.

Sipila menyifatkan kegagalan meluluskan reformasi itu sebagai ‘kekecewaan besar’. Sejak 2015, beliau mengetuai kerajaan pakatan daripada parti Tengah, parti konservatif Pakatan Nasional dan parti anti Eropah Blue Reform.

Ketiga-tiga parti itu gagal bersetuju terhadap pakej reformasi terbabit walaupun Sipila menjadikannya sebagai salah satu keutamaan kerajaan. Beliau berulang kali mengancam untuk meletak jawatan, jika reformasi itu tidak dilaksanakan.

Bekas ahli perniagaan itu meraih pendapatan berjuta sebagai usahawan teknologi maklumat (IT), sebelum menjadi Perdana Menteri pada 2015.

Sipila melihat reformasi itu penting untuk mengurangkan peningkatan kos merawat penduduk yang pantas menjadi semakin berusia.

Jumlah populasi berusia lebih 65 tahun di negara Nordic itu dijangka mencecah 26 peratus, menjelang 2030. Kini, Finland mempunyai 5.4 juta penduduk. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *