Pilu pengakhiranmu Nazerin, terjatuh dari motosikal sebelum digilis bas

SEORANG anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas maut digilis bas milik Jabatan Penjara Malaysia yang dalam perjalanan membawa 32 banduan di Kampung Dendang, Ketereh pada Khamis.

Mangsa, Mohamad Nazerin Yahaya, 24, mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian berlaku ketika pemandu bas yang merupakan kakitangan Jabatan Penjara Malaysia Pengkalan Chepa berusia 51 tahun dalam perjalanan menghantar 32 banduan tersebut dari arah Machang ke Penjara Pengkalan Chepa.

“Sampai di lokasi, Mohamad Nazerin yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dari arah bertentangan dipercayai memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah sama.

“Pada masa sama, pacuan empat roda itu mengelak ke kiri jalan bagi memberi laluan kepada bas tetapi motosikal mangsa termasuk ke laluan bertentangan lalu melanggar bahagian depan bawah bas menyebabkannya penunggang terjatuh lalu digilis tayar bas,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata, polis sudah mendapatkan rakaman video kamera papan pemuka milik van Jabatan Penjara yang mengiring bas tersebut.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kemalangan dan dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian ketika penunggang memotong kenderaan lain.

“Siasatan bagaimanapun diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...

Leave a Reply