Pilu, kanak-kanak tiga tahun maut tertinggal dalam kereta

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas lebih empat jam ditinggalkan di dalam kereta yang dipandu pengetua sebuah tadika di Taman Ria di sini, semalam.

Mangsa, Muhammad Harraz Aryan Mohd Hafizi, 3, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari tadika ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dan seorang lagi kanak-kanak diambil oleh pengetua tadika berusia 49 tahun pada jam 7.45 pagi.

Katanya, mangsa diletakkan di tempat duduk penumpang belakang kereta jenis Proton Waja manakala seorang kanak-kanak lima tahun berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Jelas beliau, apabila sampai di tadika, seorang petugas di situ telah mengambil kanak-kanak lima tahun bagi memulakan sesi pembelajaran.

“Pengetua terus parkir kereta di luar tadika dan mematikan enjin tanpa menyedari mangsa berada di dalam.

“Bagaimanapun, ketika pengetua mahu hantar semula mangsa ke rumah baru dia sedar mangsa tiada dalam kelas sebelum guru kelas memberitahu kepada pengetua mangsa tidak hadir ke sekolah.

“Pengetua terus menuju ke arah kereta miliknya sebelum dapati mangsa dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri,” katanya hari ini.

Menurut Adzli, mangsa berada dalam kereta dengan keadaan pintu dan cermin tertutup serta tiada ruang pengudaraan antara jam 8 hingga 12.15 tengah hari.

“Susulan itu, mangsa dibawa ke hospital dan hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan tiada kesan kecederaan luaran.

“Kita tahan pengetua tadika itu bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” ujar beliau.

Sementara itu, Ibu mangsa, Nor Azira Abd Halim, 36, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kejadian yang menimpa anak bongsu dua beradik itu ketika sedang bekerja.

Katanya, anaknya seorang yang ceria di rumah namun agak pendiam apabila berada di sekolah.

“Sebelum keluar bekerja lepas subuh semalam, saya tengok Muhammad Harraz Aryan masih tidur dan kebiasaannya disiapkan nenek untuk ke tadika.

“Memang terkejut dengan apa yang terjadi dan saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,”katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin Sungai Petani selepas selesai bedah siasat hari ini. -MalaysiaGazette

Loading...
Published
Categorized as Utama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *