Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

Piala Malaysia: Terengganu rentap ego Kedah di Darul Aman

ALOR SETAR – Kedah kempunan mendapatkan mata apabila tewas 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Dua gol dihasilkan penyerang TFC, Kipre Tcheche di babak kedua menyentap ego Kedah selaku juara Piala FA musim ini.

Dalam kebuntuan hingga ke hujung babak pertama tanpa sebarang gol, TFC menerima kejutan apabila penjaga gawang, Ilham Amirullah dilayangkan kad merah akibat melakukan terjahan bahaya ke atas Farhan Roslan di luar kotak penalti.

Bagaimanapun TFC yang beraksi dengan 10 pemain pada babak kedua dilihat lebih banyak bertahan dan ini membuka ruang untuk Kedah menguasai ruang tengah selepas Aidil Sharin membuat pertukaran memasukkan pemain muda Fayadh Zulkifli menggantikan Farhan Roslan.

TFC yang mendapat sepakan percuma pada minit ke-65 selepas Lee Tuck dijatuhkan, membuat kejutan apabila Tcheche memanfaatkan tandukan menewaskan Abdul Hadi Abdul Hamid untuk gol pembukaan.

Tersentak dengan gol pembukaan itu, Kedah meneruskan asakan ke gawang TFC melalui percubaan Fayadh Zulkifli, Zaquan Adha dan Fernando Rodriguez namun gawang TFC terus kebal dikawal Wan Azraie Wan Teh.

Tcheche menambah kekecewaan Kedah pada minit ke-86 apabila pertahanan Kedah, Alif Yusof gagal mengeluarkan bola dengan kemas dan kesempatan itu diambil penyerang itu untuk sekali menghukum Kedah dengan gol kedua dan keputusan itu kekal hingga penamat saingan.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén