Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Sukan

Piala Malaysia: Hatrik Tchetche julang TFC

KUALA TERENGGANU – Hatrik Kipre Tchetche memastikan skuad Terengganu FC (TFC) mengukuhkan cengkaman dalam Kumpulan A saingan Piala Malaysia selepas menumpaskan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Kemenangan itu mencerahkan laluan skuad kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain mengetuk pintu ke suku akhir lebih awal selepas mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan.

Terdahulu skuad Penyu yang masih bersedih atas pemergian penjaga gol utamanya, Mohd Suffian Abd Rahman kerana serangan jantung petang tadi bermula garang dengan percubaan pertama menerusi rembatan menarik Tchetche pada minit ketujuh yang ditepis penjaga gol, Fadzley Abdul Rahim.

Skuad Hobin Jang Hobin yang belum lagi mengutip sebarang mata selepas dua perlawanan memperoleh peluang menarik menerusi rembatan kencang Jose Almir pada minit ke-10, namun mudah dibaca penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh.

Usaha berterusan tuan rumah akhirnya berhasil pada minit ke-42 menerusi rembatan Tchetche dalam kotak penalti hasil hantaran pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakmedov.

Pada minit ke-53 pemain kelahiran Ivory Coast itu sekali lagi berjaya menghasilkan jaringan hasil hantaran Adib Aizuddin Ab Latif, tapi jaringan itu tidak dikira pengadil, Fitri Maskon kerana mendapati pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Tiga minit selepas itu, Tchetche menebus kembali kehampaan itu apabila bijak menanduk masuk hasil sepakan sudut Tuck untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Kealpaan benteng pertahanan TFC dihukum pelawat pada minit ke-66 apabila hantaran Ferris Danial Mat Nasir bijak disambar Igor Luiz melalui tandukan untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Ketika masa permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, penyerang sensasi skuad Penyu itu melengkapkan malam gemilang TFC apabila menyudahkan umpanan pemain gantian, Malik Mat Ariff bagi memastikan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu melakar kemenangan 3-1.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén