Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Piagam, ta’awun siyasi Pas-UMNO dijangka tidak kekal lama

KANGAR – Piagam Pas dan UMNO termasuk ta’awun siyasi di antara kedua-dua parti tersebut dijangka tidak kekal lama khususnya ketika proses pembahagian kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya nanti.

Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, PKR mempunyai pengalaman yang bersama Pas sejak Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat yang akhirnya menyaksikan parti itu meninggalkan gabungan.

Beliau percaya, UMNO akan menghadapi masalah semasa pengagihan kerusi nanti kerana adalah sukar untuk berunding dengan Pas dalam soal tersebut.

“Kami punya pengalaman lama dengan Pas dan saya jangka tidak lama ta’awun siyasi antara Pas dengan UMNO ini. Masa Pas keluar Pakatan Rakyat dahulu, bukan kami halau, mereka yang keluar sendiri.

“Saya jangka UMNO akan menghadapi masalah seperti mana kami hadapi semasa pengagihan kerusi dulu. Memang sukar berunding kerusi dengan Pas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai piagam muafakat di antara Pas dan UMNO yang akan ditandatangani di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September nanti.

Mengulas lanjut, Asrul Nizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, berkata,

jika kerjasama kedua-dua parti itu ikhlas, wujudkan segera kerajaan perpaduan di Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Kalau betul (ikhlas), lantiklah wakil rakyat Pas sebagai Exco di Perlis begitu juga di Pahang dan Pas sudah sediakah memberi jawatan di dalam kerajaan kepada Barisan Nasional (BN) di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya Pas dan UMNO akan terus memainkan isu Melayu dan agama kerana itu adalah ‘senjata’ yang sering digunakan sejak daripada dahulu lagi.- UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Theme by Anders Norén