Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

PH tidak gentar hadapi gabungan PAS, UMNO

KUALA TERENGGANU: Pakatan Harapan (PH) Terengganu tidak gentar serta mendesak supaya proses hubungan ta’awun siyasi serta kerjasama antara PAS dan UMNO dipercepatkan.

Timbalan Pengerusi PH Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata parti dalam gabungan PH negeri sudah bersiap siaga untuk menghadapi pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, PH negeri berpendapat hubungan ta’awun siyasi dan kerjasama antara PAS dan UMNO hanya berbentuk sementara kerana sejarah sudah membuktikan hubungan dua parti itu hanya mampu bertahan tiga tahun pada 1977 disebabkan perebutan kuasa.

“Perpecahan dua parti itu menyebabkan PAS diibaratkan bagaikan melukut di tepi gantang apabila menjalinkan kerjasama dengan beberapa parti lain, termasuk bergabung dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya ketika mengulas kedudukan PH negeri untuk berdepan dengan PAS dan UMNO pada PRU akan datang.

Razali yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia (MSM) berkata, rakyat termasuk ahli kedua parti itu di peringkat akar umbi keliru dengan hala tuju perjuangan PAS dan UMNO selepas bersepakat mengadakan hubungan dan kerjasama.

Katanya, Terengganu kini dikuasai oleh PAS selepas berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada keputusan PRU lalu.

“Persoalan yang membelenggu pemikiran ahli dua parti itu di peringkat akar umbi ialah adakan PAS sanggup menyerahkan jawatan EXCO selain melantik wakil rakyat Barisan Nasional (BN) sebagai pengerusi dalam syarikat kerajaan negeri (GLC), sedangkan pelbagai janji belum ditunaikan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Ahmad Samsuri pernah berjanji mengagihkan peruntukan sama seperti disalurkan kepada wakil PAS kepada 10 wakil rakyat BN, tetapi sehingga kini janji itu belum ditunaikan, sebaliknya melantik pegawai pembangunan dari kalangan pemimpin parti itu di DUN dikuasai BN,” katanya.

Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) negeri berkata, PAS dijangka melukut di tepi gantang dan meminta simpati daripada parti dalam PH jika parti itu gagal memenuhi tuntutan UMNO.

Mengulas sama ada PPBM akan menerima pemimpin dan ahli UMNO serta PAS menyertai PH, Razali berkata, parti mengamalkan sikap keterbukaan dan bersedia menerima mana-mana ahli dari parti lain untuk bersama.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén