Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Utama

PH Terengganu mahu wang royalti diuruskan agensi pusat

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu berharap kerajaan Persekutuan mempertimbangkan permohonan supaya bayaran wang royalti minyak negeri ini disalurkan menerusi agensi kerajaan pusat bagi memastikan pengagihannya dilakukan dengan adil tanpa mengira politik.

Pengerusinya, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya mengemukakan permohonan itu berikutan terdapat rungutan bahawa Wang Tunai Petroleum (WTP) yang dibayar terus kepada kerajaan negeri tidak diagihkan secara adil kepada rakyat.

Menurutnya, perkara tersebut tidak wajar berlaku kerana kerajaan pusat menepati janji menyalurkan wang royalti terus kepada kerajaan negeri untuk kepentingan semua rakyat tanpa melibatkan sentimen kepartian namun kesal apabila perkara sebaliknya berlaku.

“Memang kita sudah lama terima rungutan rakyat khususnya penyokong PH, dana ini hanya diberi kepada pihak tertentu saja, yang tidak berpihak kepada mereka dipinggirkan.

“Contohnya, jika ada peruntukan projek tertentu ia patut dibuka kepada semua pihak bukan hanya diagihkan kepada kontraktor dari parti tertentu. Dalam erti kata lain, penilaian open tender, biarlah open tender sebenar bukan sekadar ambil syarat tapi hanya orang tertentu dapat ambil bahagian.

“Ini tidak adil dan sudah setahun berterusan tidak ada perubahan. Sudah tiba masanya penilaian semua dibuat,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Tahunan PAN Terengganu di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi PAN Terengganu berkata, pihaknya telah mengemukakan aduan berserta bukti kepada kerajaan Persekutuan berhubung perkara itu dan menerima reaksi positif dari kepimpinan pusat.

Katanya, beberapa agensi kerajaan pusat akan dicadangkan untuk menguruskan wang royalti itu termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) yang akan mula dilaksanakan di negeri ini bermula 1 Januari nanti.

Menurut beliau, PH Terengganu kini sedang melakukan proses mengenalpasti individu yang layak dan berpotensi untuk mengisi jawatan dalam 1,046 MPKKP negeri ini.

Leave a Reply

Theme by Anders Norén