PH tak pernah janji hapuskan PTPTN

118

SHAH ALAM – PH tidak pernah berjanji untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti didakwa sesetengah pihak.

Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamudin berkata, sebaliknya manifesto PH adalah memastikan bayaran PTPTN ditangguhkan sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000.

“PH bukan Pakatan Rakyat (PR). PR dulu ya berjanji untuk hapuskan PTPTN, namun PH telah membina satu polisi baru.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, tidak mungkin akan mencapai pemansuhan PTPTN. PH tak pernah janji hapuskan PTPTN. Dalam manifesto PH, kita akan cuba untuk memastikan bayaran PTPTN ditangguhkan hingga gaji RM4,000,” katanya dalam Wacana Sinar Harian ke-94 berjudul PTPTN: Bayar ke Tak?, hari ini.

Menurut beliau, sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan PTPTN dapat bertahan dan terus memberikan bantuan kepada generasi masa depan meneruskan pengajian.

“Dengan keadaan ekonomi dan hutang negara, satu mekanisme baru telah dikeluarkan oleh PTPTN. Tapi mekanisme ini tidak adil dan ia dibantah oleh Armada dan Pemuda PH.

“Alhamdulillah, ia telah dibawa kepada Kabinet dan menangguhkan keputusan PTPTN tersebut. Setakat ini, kita dalam sesi mendapatkan input daripada pemegang taruh dan saya difahamkan dalam sebulan dua akan dikeluarkan satu kertas rundingan awam untuk mendapatkan input lebih banyak,” katanya.

Turut serta sebagai panel ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairudin dan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Nur Iman Abdul Khudus.

Wacana itu menampilkan Nazri Kahar sebagai moderator.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here