Portal berita terbaik anda

Politik

PH jangan meroyan mahu jadi kerajaan semula!

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menasihatkan Pakatan Harapan (PH) supaya tidak terlalu taksub untuk merampas semula kerajaan menerusi usul di Parlimen.

Jelas beliau, cara terbaik untuk membentuk semula kerajaan ialah dengan mendapatkan semula mandat rakyat melalui Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Kerajaan PH tumbang pada 24 Februari 2020 angkara pengkhianatan bermula dari dalam PH itu sendiri.

“Nasi sudah jadi bubur. Biarlah dia jadi bubur. Dulu PH gabungan empat buah parti. Kini PH tinggal tiga buah parti sahaja. Ada hikmahnya,” katanya menerusi satu tulisan yang disiarkan oleh sebuah portal berita dalam talian di sini hari ini.

Hassan berkata, PH perlu mengambil peluang sebagai pembangkang untuk mendapatkan semula kepercayaan daripada rakyat.

“Nasihat saya ialah supaya PH tanak nasi semula. Kali ini biar dia betul-betul jadi nasi dan tidak jadi bubur lagi.

“PH pun sudah umumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi ketua pembangkang di Parlimen. Speaker Dewan Rakyat pun sudah terima. Ini permulaan yang baik.

“Rakyat nampak siapa yang mengetuai PH sekarang ini. Tidak mengapa menjadi pembangkang ketika ini. Sabar sedikit. PRU-15 tidak lama lagi,” ujar beliau.

Tambah beliau, kerajaan yang akan dibentuk semula itu dikhuatiri tidak akan bertahan lama kerana mempunyai majoriti yang kecil dan tidak stabil selain boleh tumbang semula pada bila-bila masa.

“Selama ini pun PH adalah pembangkang. Jadilah pembangkang yang membina dalam tempoh sekarang ini. Berusaha semula untuk jadi kerajaan melalui proses pilihan raya. Itu lebih bermakna. PH tak perlu “meroyan sangat” hendak jadi kerajaan semula,” katanya.

Ujar Hassan, pemimpin-pemimpin utama PH perlu yakin bahawa gabungan parti politik itu mempunyai banyak perkara positif untuk menang besar dalam PRU-15 akan datang.

“Lupakanlah jawatan-jawatan menteri yang sudah terlepas itu.Tumpukan kepada kerja-kerja politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan kebajikan untuk dapatkan semula sokongan rakyat,” jelasnya.

Beliau berkata, lima kelebihan PH berbanding Perikatan Nasional (PN) ialah parti itu dilihat lebih bersifat pelbagai kaum dan agama sedangkan PN bukan cerminan Malaysia yang sebenar.

“Kedua, PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah mempunyai sejarah panjang bekerjasama menentang Barisan Nasional (BN).

“Ia bermula dalam Barisan Alternatif (1999- 2004); Pakatan Rakyat (2008-2015). Berbeza PN hanya baru sahaja terbentuk pada akhir bulan Februari 2020 secara bidan terjun,” ujarnya.

Perkara ketiga ialah PH mempunyai dasar bersama dan manifesto bersama yang dibukukan secara bertulis dengan nama Buku Harapan.

“Manakala PN tidak ada dasar bersama.Tidak ada manifesto bersama.Semuanya seperti skru longgar,” kata beliau.

Keempat, PH mempunyai status undang-undang yang sah kerana ia gabungan politik yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“PN pula masih bersifat gabungan yang longgar dan tiada status undang-undang yang sah. PH ada logo yang sama yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR),” jelasnya.

Perkara kelima, ialah PH sudah ada pengalaman menjadi kerajaan pusat dan kerajaan negeri sekali gus boleh meyakinkan rakyat apabila sampai PRU-15 nanti.

“PN ini tempoh ‘lesennya’ sampai PRU-15 sahaja.Tak pasti lagi bagaimana gabungan ‘caca marba’ ini akan menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

“Jadi PH yakinlah kepada diri sendiri. Dengar pandangan rakyat dan sokongan akar umbi. Janganlah mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan,” katanya.

Loading...

Leave a Reply