Pastikan pesta arak ‘Oktoberfest’ tak menjadi masalah – Dr Mujahid

0
5722

MENTERI Wilayah, Khalid Abdul Samad dinasihatkan supaya memastikan penganjuran pesta Oktoberfest di ibu negara, tidak menjadi masalah kepada umat Islam.

Itu pesanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kepada rakannya dalam Parti Amanah Negara (PAN) itu yang dilaporkan, membenarkan penganjuran Oktoberfest di ibu negara dengan bersyarat.

Mujahid enggan memberikan pandangannya secara khusus terhadap penganjuran pesta berasal dari Jerman itu, namun menggesa umat Islam supaya tidak menyertainya.

“Saya sedang berbincang dengan pihak mufti (mengenai penganjuran Oktoberfest), namun secara asasnya apa saja perkara mungkar seperti minum arak dan sebagainya, kita minta umat Islam jangan sertai.

“Lain daripada itu, Menteri Wilayah yang akan uruskan daripada segi perundangan, kalau dizinkan, apa syaratnya.

“Saya juga berhubung secara rapat dengan YB Khalid (dan berpesan) supaya isu ini tidak menjadi masalah kepada umat Islam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Seminar Wakaf Institusi Pendidikan 2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pendiriannya terhadap penganjuran Oktoberfest selepas Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH, dilaporkan membenarkan pesta arak itu dianjurkan di ibu negara jika mematuhi syarat ditetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Antara syarat itu ialah ia tidak dianjurkan di tempat terbuka serta tidak boleh disertai oleh individu beragama Islam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ahmad Musadad Sulaiman; Timbalan Naib Canselor UPM, Dr Zulkifli Idrus dan Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Dr Razali Othman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here