Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Dunia

Pesawat Afghanistan bawa 80 penumpang terhempas

KABUL: Sebuah pesawat yang pada awalnya dipercayai milik kerajaan Afghanistan, Ariana Airlines yang sedang membawa sekurang-kurangnya 80 penumpang dilaporkan terhempas di wilayah Ghazni, kawasan yang dikawal kumpulan Taliban negara itu pada Isnin.

“Pesawat Boeing milik Ariana Airlines terhempas di Sado Khel dalam kawasan Deh Yak di wilayah Ghazni sekitar jam 1.10 petang waktu tempatan pada Isnin,” kata jurucakap gabenor wilayah itu, Arif Noori dalam laporan awal yang dipetik media tempatan.

Jumlah sebenar kematian akibat nahas pesawat jenis Boeing 737-400 itu bagaimanapun belum dapat dipastikan.

Terdapat juga percanggahan maklumat awal di pihak berkuasa tempatan berhubung jumlah penumpang dan destinasi pesawat serta lokasi pesawat malang itu berlepas.

Bagaimanapun, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Ariana Airlines, Mirwais Mirzakwal menafikan pesawat syarikat penerbangan itu terbabit dalam kemalangan seperti yang didakwa oleh pegawai kerajaan Afganistan itu.

“Terdapat insiden pesawat terhempas tetapi bukan milik syarikat Ariana. Dua pesawat yang dikendalikan oleh kami dari Herat ke Kabul dan Herat ke Delhi (India) telah selamat mendarat,” katanya kepada Reuters.

Sementara itu pihak Taliban berkata pihaknya sedang membuat siasatan lanjut berhubung insiden itu.

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén