Cempedak Cheese

Portal berita terbaik anda

Politik

Pertandingan empat penjuru di Rantau

REMBAU – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pertandingan itu disahkan selepas Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau , Mohd. Nizam Tajul Arus mengumumkan senarai calon yang bertanding pada pukul 10.30 pagi ini.

BN diwakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, 63, manakala PH diwakili Timbalan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Rantau, Dr. S. Streram, 63.

Sementara dua calon Bebas terdiri daripada bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Seremban, Mohd. Nor Yassin, 52, dan suri rumah, R.Malar, 51.

Proses penamaan calon bagi PRK kerusi DUN Rantau dibuka pada pukul 9 pagi ini di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sri Sendayan dekat sini.

PRK Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

SPR menetapkan 13 April depan sebagai hari mengundi, manakala hari mengundi awal pada 9 April 2019. – K! ONLINE

Loading...

Leave a Reply

Theme by Anders Norén