Portal berita terbaik anda

Jenayah

Pertama kali lihat orang awam tampar polis – saksi

PETALING JAYA: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bahawa beliau ingat wajah Datuk Farid Kamil Zahari berikutan tindakan berani pelakon itu menampar anggota polis trafik di Balai Polis Trafik Kota Damansara, pada 11 Januari 2018.

Wong Kok Keong, 36, yang juga saksi pendakwaan keempat 4 itu berkata, insiden yang berlaku itu adalah yang pertama kali dilihat sepanjang hidupnya, membabitkan orang awam menampar anggota polis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, sama ada saksi itu mengenali dan mengingati pelakon utama Lagenda Budak Setan itu.

Terdahulu, pemilik perniagaan perkhidmatan pengebumian itu berkata beliau pergi ke balai polis trafik berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari pada 11 Januari tahun lalu untuk memeriksa saman sebelum dua lelaki (Ashraf Ahmad dan Farid) masuk ke dalam balai polis sama.

Menurutnya, ketika itu, beliau terdengar kedua-dua lelaki terbabit bergaduh sebelum Farid bertindak menampar Ashraf dengan kuat dan kemudian melakukan perbuatan sama terhadap anggota polis trafik di kaunter pertanyaan.

“Ketika itu, saya melihat Farid terjerit-jerit seperti orang gila dan dalam masa sama, keadaannya seperti tidak tidak betul,” katanya.

Ketika disoal Alia mengenai bahagian muka kedua-dua mangsa yang ditampar Farid, saksi berkata beliau tidak dapat mengingatinya.

Dalam keterangan di mahkamah sebelum ini, Ashraf, 35, yang juga saksi pertama pendakwaan, membawa Farid dengan tidak berbaju yang ditemui di tepi Jalan Tropicana, Damansara, ke balai polis itu untuk membuat laporan selepas Farid mendakwa dirinya terbabit dalam kemalangan.

Sementara itu, dalam sesi pemeriksaan balas peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid, Wong berkata beliau berada di balai polis trafik itu pada hari kejadian adalah untuk memeriksa saman pada kenderaan yang dimilikinya, namun kerana kejadian itu beliau tidak sempat untuk melakukan urusan berkenaan.

Selain itu, ketika menjawab soal balas oleh peguam mengenai kejadian, beliau memberitahu ada beberapa butiran yang dapat diingat dengan jelas, namun selebihnya tidak dapat diingat kembali.

“Kejadian itu sudah berlaku setahun yang lalu…saya menjawab apa yang saya ingat, yang saya tak ingat saya tidak jawab,” katanya.

Pada 16 Januari tahun lalu, Farid, 37, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan, iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang, 11 Januari 2018.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung esok.

Loading...

Leave a Reply