Perodua Aruz dilancar secara rasmi, harga bermula RM72,900 sebuah

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) terbarunya, Perodua Aruz untuk pasaran tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, SUV tujuh tempat duduk itu ditawarkan menerusi dua pilihan varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, masing-masing pada harga RM72,900 dan RM77,900.

Katanya, Perodua Aruz adalah kenderaan cekap tenaga (EEV) keempat dihasilkan syarikat automotif terbabit, dengan 95 peratus daripada komponennya menggunakan sumber tempatan.

“Perodua Aruz menerajui arah baru untuk kami. Kemasukan ke segmen SUV ini membawa PERODUA ke pasaran baru yang mana kami akan mempertingkatkan inisiatif kepuasan pelanggan untuk memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

“Dengan Perodua Aruz, orang ramai kini boleh menikmati sebuah SUV termasuk ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat dalam kenderaan mewah.

“Ini menjadikannya antara SUV dengan nilai terbaik pada masa kini,” katanya pada majlis pelancaran Perodua Aruz, di sini, malam ini.

Pelancaran SUV itu dilakukan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan disaksikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Menurut Zainal, ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada semua varian Perodua Aruz termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC), ISOFIX dan enam beg udara.

Katanya, bagi varian Advance, ia dilengkapi sistem Bantuan Keselamatan Canggih (ASA) 2.0 yang dinaik taraf dengan penambahan pengesanan pejalan kaki serta peningkatan kelajuan operasi.

“Malah, model baru ini juga menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada ASEAN NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

“Selain itu, SUV ini juga memberi kecekapan bahan api terbaik dalam segmen dengan 15.6 kilometer selitar (km/l),” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, model SUV terbaru itu kini sudah menerima 2,200 tempahan sejak dibuka bermula 3 Januari lalu.

“Setiap pembelian akan ditawarkan jaminan selama lima tahun atau 150,000 km (yang mana terdahulu).

“Sebagai bonus, bermula 9 Januari lalu, semua pelanggan yang membeli insurans motor Perodua Total Protect Plus bukan saja akan menikmati Perodua Auto Assist percuma tetapi juga penamaan pemandu percuma tanpa had, elaun banjir sehingga RM1,000 serta perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000,” katanya.

Perodua Aruz menawarkan lima pilihan warna merangkumi Ivory White, Glittering Sliver, Electric Blue, Granite Grey dan warna baru Amazon Green.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here