Portal berita terbaik anda

Politik

Penyokong PH bersorak calon DAP kalah

KUALA LUMPUR – Kekalahan calon DAP, M. Manogaran dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands malam tadi, memberi tamparan cukup hebat kepada parti pemerintah itu.

Ini kerana, kekalahan itu bukan menarik simpati, malah gelak ketawa dari kalangan penyokong PH sendiri yang menggunakan saluran media sosial untuk menyindir, memerli dan memberi peringatan kepada DAP.

Blogger pro PH, Milo Suam dalam ciapan Twitternya awal pagi tadi, menzahirkan maklum balas penyokong PH berhubung kekalahan calon DAP kepada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 3,238 sebagai suatu peringatan jelas.

“PH kalah di Cameron Highlands, penyokong PH pula yang bersorak di media sosial, ada mesej jelas yang disampaikan. Bukan mereka benci, tapi nak bagi peringatan,” tulisnya.

Sementara itu, ciapannya turut mendapat komen daripada warganet yang rata-rata bersetuju bahawa pemimpin dari parti komponen PH patut diberi peringatan agar tidak sombong dan ego.

Penama @jamian_said berkata, dia bersetuju dengan pandangan blogger itu kerana ramai pemimpin PH yang sudah besar kepala.

Warganet @ismailjidin pula memberi komen, “Harapan tak Harapan makcik tak percaya. Kalau buat surat ‘lawyer’ boleh janji! Kalau cakap mulut sahaja makcik tak percaya,” katanya mengajuk perbualan seorang wanita warga emas dengan calon DAP, M Manogaran di sebuah kedai runcit ketika kempen di Cameron Highlands, baru-baru ini.

@paklah77 pula berharap, PH perbanyakkan buat kerja rumah, jangan syok sendiri kerana di mana-mana pun rakyat boleh buat kejutan.

Penama @FarzLizan berkongsi peringatan blogger itu ke akaun Twitter pemimpin PH seperti @AzminAli, @Azmizam, @afifbahardin, @n_izzah, @hilmanidham, @AmirudinShari, @ybz99, @juezulkifli, @Rodziah_Ismail, @hanizat, @LatheefaKoya, dan @nsurendrann.

Bagi warganet @drishakjohari, PH perlu menggandakan usaha, bukan rasa terlalu selesa.

Katanya, jika berterusan begitu, PRU akan datang tidak merasa lagi menjadi kerajaan dan akan diambilalih oleh Barisan Nasional dan Pas.

Dalam PRK malam tadi, M Manogaran bukan sahaja kalah, malah gagal mempertahankan jumlah undi yang dimenanginya pada PRU14, 9 Mei lalu.

Pada PRU14, beliau mendapat 9,710 undi berbanding PRK malam tadi hanya mampu merekodkan perolehan 8,800 undi sahaja.

Begitu juga jumlah majoriti undi antara beliau dengan calon BN pada PRU14 hanya 597 undi, tetapi PRK malam tadi majoriti diperolehi Ramli Mohd Noor jauh lebih tinggi, iaitu 3,238 undi. – MalaysiaGazette

Loading...

Leave a Reply